Tentang Kami

Tentang Malaysia Teacher Prize

Malaysia Teacher Prize (MTP) dianjurkan untuk menghargai, meraikan dan menonjolkan bakat guru cemerlang di Malaysia. Majlis ini merupakan majlis pertama di Malaysia yang mengiktiraf guru pada skala nasional dan menyediakan platform untuk mengukur pelaksanaan terbaik mereka.

Pengertian di sebalik anugerah ini turut ditonjolkan menerusi reka bentuk logo yang digunakan. Integrasi di atas bahagian atas logo merujuk kepada Gasing Uri, sejenis gasing yang biasa ditemui di Kelantan. Salah satu cara untuk bermain menggunakan gasing tersebut adalah menerusi permainan ketahanan diri. Kami percaya aspek ini mencerminkan daya tahan guru-guru di Malaysia dalam melaksanakan tugas mereka, terutamanya ketika musim pandemik. Sama seperti permainan gasing, Malaysia Teacher Prize sedang mencari guru terbaik yang mampu menguri dan memangkah lawan.

Tema kami, “Power of a Teacher, Potential of a Nation”, merangkumkan lagi kepentingan mengiktiraf guru mempunyai kuasa untuk membentuk masa depan negara kita, melangkaui apa yang mereka lakukan di dalam bilik darjah. Guru mampu memainkan peranan penting dalam komuniti tempatan mereka, komuniti perguruan  dan juga di peringkat kebangsaan serta antarabangsa untuk memacu perubahan positif, meningkatkan keberhasilan pelajar dan akhirnya menaikkan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Objektif

Malaysia Teacher Prize adalah untuk menonjolkan bakat guru cemerlang di Malaysia, dengan mengiktiraf impak daripada amalan terbaik mereka terhadap pelajar dan komuniti mereka.
Malaysia Teacher Prize adalah untuk meningkatkan pelaksanaan yang mampan melalui pemerkasaan guru-guru yang bertujuan untuk menggalakkan ruang pendidikan yang lebih saksama dan terbilang.

Individu di Belakang Tabir Malaysia Teacher Prize

Cheryl Ann Fernando

CEO PEMIMPIN GSL dan Pengasas Bersama
Malaysia Teacher Prize

Kami sangat berbesar hati dan merendah diri dalam kerjasama dengan Varkey Foundation dan Global Teacher Prize dalam menganjurkan National Teacher Prize di Malaysia. Kami percaya anugerah ini adalah pentas yang terbaik untuk mempamerkan pencapaian guru-guru di Malaysia dan menyediakan ruang untuk mereka berkongsi amalan pengajaran terbaik mereka bersama guru-guru di Malaysia. Kami berharap melalui anugerah ini, kami dapat menemui guru-guru yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam usaha memastikan murid di Malaysia mendapat pendidikan yang berkualiti.

Samuel Isaiah

Pengasas Bersama Malaysia Teacher Prize

Kami percaya perubahan hanya akan berlaku apabila minda dan hati bersatu, dan menerusi kerjasama antara pihak kami dengan Varkey Foundation dan Global Teacher Prize, kami berharap dapat memastikan guru-guru di Malaysia mendapat perhatian yang selayaknya.

Guru-guru ialah adiwira negara kita, namun begitu usaha keras mereka sering tidak dihargai. Terutamanya dalam tempoh dua tahun yang lalu, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dalam masa yang singkat, dan menemui kaedah yang tidak konvensional untuk melibatkan diri bersama dengan murid-murid dan komuniti setempat. Oleh itu, Malaysia Teacher Prize berazam untuk memberikan penghormatan kepada guru-guru ini atas inovasi dan semangat murni mereka kerana memberikan yang terbaik dalam usaha mendidik pemimpin masa hadapan.

Dato’ Kathleen Chew

Pengarah Program YTL Foundation

Guru ialah arkitek bangsa, yang membentuk fikiran masa depan. Di dalam kelas, mereka memiliki kekuatan untuk menanam rasa percaya diri dan menyampai kemahiran yang membolehkan murid untuk mencapai aspirasi mereka. Di luar kelas, mereka juga dapat menjadi pemimpin, berkolaborasi dengan anggota masyarakat untuk mendorong perubahan positif. Kami bangga menyokong Malaysia Teacher Prize yang bukan sahaja meraikan sumbangan mereka, tetapi juga mengiktiraf peranan penting yang mereka mainkan sebagai pembina negara bangsa. Dengan menghormati dan menyokong para guru, kita dapat menciptakan persekitaran pendidikan yang lebih positif demi memanfaatkan semua pihak.

PEMIMPIN GSL

PEMIMPIN GSL (Global Education Leaders Malaysia Berhad 201901002310 [1311636X]) ialah sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada penyediaan latihan kepimpinan berasaskan bukti yang berkualiti tinggi untuk guru-guru dan pemimpin-pemimpin sekolah kerajaan di Malaysia. Sejak tahun 2017, PEMIMPIN GSL telah bekerjasama dengan hampir 3200 guru dari 1800 sekolah di seluruh Malaysia. Tawaran program PEMIMPIN GSL meliputi kumpulan pemimpin sekolah, pemimpin pertengahan dan pemimpin guru melalui program berbeza yang direka khas untuk memenuhi keperluan pemimpin-pemimpin ini.

PEMIMPIN GSL berusaha untuk bekerjasama dengan pelbagai sekolah di seluruh Malaysia dengan menyediakan sokongan tersuai dan latihan pembangunan kepimpinan yang kukuh untuk membantu para pendidik meningkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran, membina kemahiran kepimpinan mereka dan meningkatkan keberhasilan murid mereka. PEMIMPIN GSL kini mempunyai pasukan seramai 12 orang yang datang daripada pelbagai latar belakang. PEMIMPIN GSL menerima pembiayaan daripada pelbagai organisasi korporat termasuk YTL Foundation, ECM Libra Foundation, Sime Darby Foundation dan Yayasan Hasanah.

YTL Foundation

YTL Foundation diasaskan pada tahun 1997 atas kepercayaan bahawa pendidikan merupakan asas bagi setiap masyarakat maju. Dengan membangun dan menambah baik sistem pendidikan dalam masyarakat setempat, YTL Foundation bertujuan untuk memperkasa individu dan komuniti untuk menjadi pemangkin perubahan. YTL Foundation telah menyediakan bantuan dalam bentuk biasiswa kepada individu yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran. Baru-baru ini, YTL Foundation telah meluaskan peranannya dengan menganjurkan bengkel, ceramah dan persidangan untuk memperkaya dan memberi inspirasi kepada para pendidik, murid dan ibu bapa, serta program teknik pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 ke sekolah. Melalui program-program,biasiswa, kepimpinan pemikiran dan dengan memperjuang penggunaan teknologi dengan sokongan YTL Group yang berwawasan untuk bantu membina negara, YTL Foundation berharap untuk membina masyarakat yang lebih baik, melalui akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti.

ECM Libra Foundation

Yayasan ECM Libra telah ditubuhkan pada Ogos 2004 untuk menyokong pendidikan bagi rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik, tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan. Kami percaya akses kepada pendidikan berkualiti dan pembangunan kepimpinan dapat menyediakan peluang yang terbaik untuk golongan miskin yang kian hari ketinggalan walaupun ekonomi negara telah bertambah maju. Oleh itu, yayasan kami berhasrat untuk sentiasa menyokong kesejahteraan golongan kurang bernasib baik dengan menyediakan bantuan kewangan dan penyelesaian inovatif untuk memberi inspirasi perubahan generasi akan datang.

Varkey Foundation

Sebagai penganjur Global Teacher Prize, Varkey Foundation sangat teruja untuk berkerjasama dengan PEMIMPIN GSL dalam usaha memartabatkan status guru untuk memastikan kualiti pengajaran dapat dipertingkatkan demi menambah baik hasil pendidikan. Visi Varkey Foundation adalah untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk setiap kanak-kanak, dalam pada masa yang sama meningkatkan status guru dan meraikan kerjaya tersebut.

 

Organisasi Rakan Kongsi